WASHINGTON – Waris mangsa nahas 737 MAX meminta pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mendenda Boeing sehingga AS$24.8 bilion(RM116.8 bilion) dan meneruskan pendakwaan jenayah.
Perkembangan itu berlaku sehari selepas Ketua Pegawai Eksekutif, Dave Calhoun mengaku bahawa Boeing berdepan isu keselamatan serius dan memberi jaminan kepada panel Kongres bahawa pihaknya mencapai kemajuan dalam menangani masalah tersebut.
Duduk di belakangnya adalah waris mangsa nahas Boeing 737 MAX 8 pada 2018 dan 2019.
“Oleh kerana jenayah Boeing adalah jenayah korporat paling berdarah dalam sejarah AS, denda maksimum lebih AS$24 bilion adalah wajar di sisi undang-undang,” kata peguam mewakili mereka, Paul Cassell dalam suratnya kepada Jabatan Kehakiman AS.
Dokumen setebal 32 muka surat itu menyatakan kewajaran di sebalik jumlah yang diminta. Menurutnya, Boeing ‘harus dikenakan denda maksimum AS$24,780,000,000(RM116,737,257,582) dengan AS$14,000,000,000 (RM65,955,172,493) hingga AS$22,000,0000,000(RM103,642,946,286) daripada denda itu digantung dengan syarat Boeing menyalurkan dana berkenaan kepada badan pemantau korporat bebas.
Badan itu kata Cassell, akan memantau penambahbaikan serta pelaksanaan program keselamatan yang perlu dilakukan oleh Boeing.
“Lembaga Pengarah Boeing juga harus diarahkan untuk bertemu waris mangsa,” tambahnya.”
Kata Cassell, waris mangsa sepakat bahawa kerajaan perlu segera ‘melancarkan pendakwaan jenayah terhadap pegawai Boeing yang bertanggung jawab pada masa kedua-dua kemalangan itu berlaku’.
Kes tersebut berkaitan nahas pada 2018 dan 2019 di Indonesia dan Ethiopia yang secara keseluruhan meragut sebanyak 346 nyawa. – AFP