fbpx

Askar Filipina guna ‘tangan kosong’ bertarung lawan tentera China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar klip video kelmarin menunjukkan anggota-anggota Pengawal Pantai China membawa senjata dalam konfrontasi di Beting Thomas Kedua, Laut China Selatan. – AFP

MANILA – Tentera Filipina menyatakan semalam bahawa  kapal-kapal  Pengawal Pantai China merempuh beberapa bot tentera laut Manila dalam konfrontasi ganas di Laut China Selatan, yang menyaksikan seorang kelasi Filipina putus satu ibu jari.

Komander angkatan tentera, Jeneral  Romeo Brawner mendakwa, sebilangan anggota Pengawal Pantai  China yang menceroboh bot Filipina itu membawa pedang, lembing dan pisau.

Insiden berlaku di Beting Thomas Kedua, minggu ini.

Brawner menceritakan insiden itu selepas melawat kelasi yang cedera di Palawan. Katanya, petugas-petugas  Filipina ‘bertarung menggunakan tangan kosong’ selepas kakitangan Pengawal Pantai daripada lapan buah kapal menaiki beberapa bot getah mereka. 

“Mereka mengambil senjata api kami dan peralatan lain, memusnahkan peralatan kami termasuk enjin. Mereka juga membocorkan bot-bot getah kami.

“Kami menuntut pihak China mengembalikan semula raifal dan peralatan kami serta membayar pampasan terhadap kerosakan yang mereka lakukan,” kata Brawner.

Sementara itu, Beijing mempertahankan tindakannya dengan Kementerian Luar China menyatakan semalam bahawa ‘tiada tindakan langsung’ diambil terhadap kakitangan Filipina itu.

“Tindakan undang-undang  oleh Pengawal Pantai China di lokasi kejadian dilakukan secara  profesional dan ‘kawalan diri’,” kata jurucakap kementerian berkenaan, Lin Jian dalam sidang akhbar rutin di Beijing.

Beting Thomas Kedua terletak kira-kira 200 kilometer dari Pulau Palawan, barat Filipina dan lebih 1,000 kilometer dari daratan terdekat China iaitu Pulau Hainan. 

Beijing menuntut hampir  keseluruhan Laut China Selatan dan mengetepikan tuntutan bertindih oleh negara-negara rantau Asia Tenggara.  – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI