MELAKA – Suasana program ibadah korban yang dikatakan dilaksanakan di Taman Seri Pandan dekat sini baru-baru ini bertukar kecoh apabila seekor lembu terlepas dan mengamuk di khemah petugas wanita.
Satu klip video berkaitan kejadian turut tular di media sosial memaparkan orang ramai lari bertempiaran bagi menyelamatkan diri masing-masing.
Dalam video berdurasi 30 saat itu, kedengaran suara seorang lelaki cuba mengawal situasi dengan memberi arahan supaya orang ramai kekal bertenang.
“Jangan lari…relaks, relaks..,” katanya.
Haiwan tersebut kemudian dilihat menyondol seorang wanita sehingga mangsa melambung sebelum terjatuh secara terlentang.
Klip tersebut didakwa berlaku berhampiran sebuah surau di kawasan berkenaan, pagi kelmarin. – KOSMO! ONLINE