TEMPOH 12 tahun memilih haluan sendiri selepas lebih sedekad mengharungi pahit manis bersama kumpulan Cokelat menyuntik
1,001 rasa yang sukar digambarkan kelima-lima anggota band rock alternatif tersohor Indonesia itu.
Menjalani kehidupan serta karier masing-masing selepas vokalisnya, Kikan serta pemain dram, Ervin memilih bergerak solo membuatkan persahabatan yang dulunya akrab terus menjauh.
Nekad solo
Bagai didedahkan Kikan, sepanjang tempoh tersebut hatinya teguh enggan menoleh ke belakang lagi demi perjalanan sebuah karier solo.
Namun ironinya, pemilik nama lengkap Namara Surtikanti, 46, yang sebelum itu aktif menghasilkan lagu umpamanya sesat dalam dunia muzik.
“Ironi bukan? Saya pilih jalan solo demi keluarga dengan harapan untuk bergerak sendiri serta meneruskan minat menghasilkan banyak lagi lagu.
“Saya keluar selepas berasakan tidak mampu memenuhi komitmen kepada band yang rancak dengan pelbagai jemputan persembahan selepas mempunyai anak kecil.
“Tetapi dalam tempoh 12 tahun itu sebenarnya saya cuma dapat cipta satu lagu sahaja,” katanya kepada HibGlam sewaktu sidang media Konsert Cokelat Kembali di ibu negara, baru-baru ini.
Bakal direalisasikan Tanjak Global Services selaku penganjur, konsert reunion yang akan berlangsung di Zepp KL pada 7 September depan diadakan selepas kali terakhir beraksi di negara ini 15 tahun lalu.
Selain Kikan, kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1996 itu turut disertai Edwin (gitar), Ernest (gitar), Ronny (bass) serta Ervin (drum).
Lagu baharu
Menurut Kikan lagi, konsert berkenaan bukan sahaja membawa simbolik penyatuan semula Cokelat bahkan kelima-lima mereka berharap dapat menyampaikan lagu baharu berjudul Pulang.
“Pulang menceritakan transisi band itu dari detik perjalanan awal, berpisah dan kini kembali dengan lebih utuh bukan sahaja dari segi penyatuan muzik, malah jati diri sebagai saudara terdekat.
“Bayangkan hubungan kami sangat akrab sudah seperti adik-beradik kerana segala susah senang ditanggung bersama tetapi akhirnya terpisah.
“Namun rahsia Tuhan, kami dapat duduk semeja kembali seterusnya meneruskan cinta hakiki menghiburkan ramai di bawah jenama Cokelat, alhamdulillah,” ujarnya.
Berkongsi pertemuan semula yang dicetuskan Erwin bersama pengurus, Udzir merangkap suaminya, akui penyanyi itu awalnya dia kurang senang Udzir berhubung dengan anggota lain.
Komunikasi
Begitupun, hatinya terbuka sedikit demi sedikit untuk bergabung selepas melihat kesungguhan mereka dalam menjernihkan semula keadaan selepas bertahun-tahun menjarakkan diri.
“Memang selepas keluar, hubungan kami dingin dan tidak lagi berhubung tetapi lima bulan sebelum pengumuman Cokelat bersatu, berlakunya komunikasi antara mereka tanpa pengetahuan saya.
“Awalnya saya marah tetapi selepas itu hati saya terbuka untuk bertemu. Memang awalnya rasa awkward (pelik), rasa kaku, namun semuanya berlangsung dengan baik.
“Kami ada masuk studio untuk tengok semula keserasian, mujur Udzir minta semua minum dan bersembang dahulu bagi menenangkan kami, seterusnya adalah sejarah,” tambahnya mengimbas detik perjumpaan pertama sekitar dua tahun lalu.
Terdahulu, band yang berpisah selama 12 tahun itu kembali bersatu menerusi Hari Kemerdekaan Indonesia yang berlangsung 17 Ogos 2022.
Cokelat antara kumpulan terbaik yang mengukir nama dalam industri hiburan rantau Asia Tenggara menerusi lagu popular seperti Karma, Segitiga, Luka Lama, Ku Pilih Dia, Pergi, Jauh dan banyak lagi.
Mengenai konsert di Zepp KL nanti, Edwin pula mengakui teruja apabila kali terakhir mereka mengadakan persembahan di negara ini adalah sekitar 2009.
“Memang sudah cukup lama. Kami berharap persembahan ini dapat mengubat rindu peminat-peminat setia. Terima kasih kami ucapkan kepada semua peminat di Malaysia.
“Kami juga sangat rindukan Malaysia yang sudah kami anggapkan seperti rumah kedua Cokelat.
“Bagi mereka yang mahu mengubati kerinduan terhadap Cokelat, konsert ini kami hadiahkan untuk anda semua,” ujarnya.
Tiket konsert ini sudah mula dijual secara online dengan kategori dan harga; Karma RM189 (Rockzone Standing), Segitiga RM159 (Premium Standing), Luka Lama RM139 (Free Standing), Jauh RM285 (Premium Seating), Pergi RM235 (Standard Seating) dan VIP RM380.
Bagi yang ingin membuat tempahan boleh terus ke laman web ubertikets.asia.