PETALING JAYA – Rumah tangga pelakon Nora Danish dengan pasangan Nedim Nazri akhirnya menemui noktah apabila mereka mengambil keputusan untuk bercerai secara baik.
Menerusi prosiding yang berjalan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Nedim melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin pada pukul 8.34 malam tadi.
Nora atau nama lengkapnya, Nora Mohd. Danish Hanif, 42, memberitahu perpisahan itu merupakan keputusan yang telah sepakat dan mengharapkan agar khalayak dapat mendoakan yang terbaik buat mereka sekeluarga.
“Saya dan bekas suami sudah mendapat persetujuan bersama untuk mengakhiri perkahwinan kami yang didirikan selama tujuh tahun. Ia berakhir di sini, malam ini.
“Apa yang paling penting, tujuan kami untuk membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang dan positif.
“Jadi, saya harapkan anda mendoakan yang terbaik buat kami sekeluarga. Saya mengharapkan tiada teori mengenai perpisahan kami. Hal ini kerana, kami sangat mementingkan keharmonian kedua-dua keluarga dan anak-anak,” katanya.
Memetik laporan Berita Harian itu juga, Nedim atau nama lengkap Mohamed Nedim Mohamad Nazri, 41, bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perceraian tersebut.
Menerusi prosiding itu, Nedim hadir tanpa peguam sementara Nora pula diwakili oleh peguam syarie, Ahmad Badri Idris.
Pada 29 April lalu, Nora mendedahkan rumah tangga dengan Nedim yang dibina sejak 2017 bergolak.
Nora dan Nedim mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl, 6.
Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Putra Rayqal, 15, sebelum bercerai pada 2008. – KOSMO! ONLINE