fbpx

K2

Infak barang tidak elok boleh jadi haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amalan menginfakkan barangan tidak elok adalah makruh, namun boleh berubah menjadi haram jika barang tidak elok itu sudah basi atau tidak lagi boleh dimanfaatkan. – Gambar hiasan

Saya ingin bertanya, apakah hukum kita memberi infak barangan yang tidak elok seperti makanan yang hampir basi atau pakaian koyak? Mohon pandangan. Terima kasih.

Jawapan: Pada dasarnya, memberikan infak atau sumbangan kepada orang lain merupakan suatu perbuatan sunah yang amat dituntut dan dianjurkan dalam Islam.

Betapa banyak dalil daripada nas al-Quran dan juga hadis nabi yang menyatakan anjuran serta kelebihan berinfaq pada jalan Allah SWT.

Sebagaimana dinyatakan melalui salah satu ayat al-Quran, Allah SWT berfirman: “Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Baqarah, 265)
Al-Syirbini menukilkan bahawa sunat berinfak dengan sesuatu yang baik dan disukai.

Hal ini kerana perkara tersebut dapat menambahkan ganjaran pahala dan melembutkan hati. Firman Allah SWT: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Surah Ali ‘Imran, 92)

Seterusnya, beliau turut mengulas bahawa hukum menginfakkan barangan yang tidak elok adalah makruh yakni amalan tersebut tidak diganjari dengan sebarang pahala.

Hal ini jelas berdasarkan kepada firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.” (Surah al-Baqarah, 267)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa ayat ini merupakan suruhan agar berinfak dengan harta atau sesuatu yang baik tidak kira ia berbentuk wang tunai, binatang ternakan, hasil tanaman, barangan perniagaan dan sebagainya.

Begitu juga, Allah SWT melarang daripada berinfak dengan sesuatu yang sudah rosak, kotor ataupun keji.
Hal ini kerana, sebagaimana sabda Nabi SAW: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah itu Maha Baik, Dia tidak akan menerima kecuali yang baik-baik sahaja.” (Riwayat Muslim, 1015)

Al-Jurjani menukilkan dalam kitab Nazm al-Quran bahawa sebahagian orang berkata, lafaz ‘daripadanya kamu dermakan’ dan pada masa sama, kamu tidak akan mengambilnya apabila ia disuakan kepada kamu seolah-olah suatu bentuk cemuhan dan juga penghinaan kepada orang ramai.

Bukan itu sahaja, sekiranya barangan yang ingin diinfakkan itu tidak elok, malah sudah basi, tidak boleh dimanfaatkan lagi atau sebagainya, maka haram hukumnya kerana ia merupakan suatu bentuk kezaliman serta penganiayaan ke atas orang lain.

Perkara ini jelas sebagaimana yang disabdakan Nabi SAW dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT berfirman: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku haramkan kezaliman ada pada diriku, dan aku jadikan kezaliman itu juga haram bagi kamu semua, maka janganlah kamu semua saling berlaku zali.” (Riwayat Muslim, 2577)

Berwaspadalah dengan doa orang yang dizalimi. Nabi SAW telah bersabda:

“Takutilah doa orang yang dizalimi kerana tidak ada penghalang antara doanya dengan Allah SWT.” (Riwayat al-Tirmizi, 2014)

Kesimpulannya, hukum memberi infak barangan yang tidak elok adalah makruh.

Sekiranya barangan yang ingin diinfakkan itu tidak elok, malah sudah basi, tidak boleh dimanfaatkan lagi atau sebagainya, maka haram hukumnya kerana ia merupakan suatu bentuk kezaliman serta penganiayaan ke atas orang lain.

Sebaliknya, Allah SWT menyuruh umat-Nya agar berinfak dengan sesuatu yang baik lagi elok. Wallahu A‘lam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI