fbpx

K2

Persoalan berdoa di perkuburan kafir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang Islam adalah dilarang daripada menganjurkan atau menghadiri apa-apa majlis yang melibatkan upacara keagamaan agama lain.- Gambar hiasan

Saya ingin bertanya tentang klip video yang viral di media sosial kebelakangan ini, di mana seorang ustaz membacakan doa di perkuburan orang kafir sempena memperingati peristiwa tertentu. Persoalan saya, adakah dibolehkan orang Islam berdoa bersama dengan penganut agama lain dalam majlis seperti itu? Mohon penjelasan.

JAWAPAN: Dalam perkara berkaitan perbuatan berdoa, kita dituntut untuk meminta dan berharap hanya kepada Allah SWT. Hal ini diulang setiap kali solat yang didirikan dengan menyebut:
Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (Al-Fatihah: 5)

Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili, ayat ini menunjukkan bahawa umat Islam perlu mengkhususkan penyembahan, pengabdian dan ketaatan mereka hanya kepada Allah SWT dan tidak kepada tuhan-tuhan lain.

Di samping itu, umat Islam perlu berharap dan memohon doa hanya kepada Allah SWT semata-mata.

Justeru itu, bacaan doa yang dilakukan oleh orang Islam tidak boleh disamakan dengan bacaan doa penganut agama-agama lain. Hal ini kerana umat Islam wajib untuk meyakini bahawa hanya Islam adalah agama kebenaran dan Allah SWT adalah satu-satunya tuhan yang berhak disembah, sedangkan agama-agama lain tidak berada di atas jalan kebenaran. Oleh itu, doa-doa yang mereka panjatkan kepada tuhan mereka adalah sia-sia belaka.

Manakala, berkaitan dengan isu bacaan doa dalam majlis bersama orang bukan Islam, kami telah memperincikan hukum berkaitannya dalam artikel Bayan Linnas Siri Ke-156: Doa Bersama Dengan Bukan Islam Dalam Satu Majlis. Dalam artikel tersebut, kami menerangkan bahawa dilarang bagi orang Islam membaca doa dalam majlis sepentas dengan golongan bukan Islam atas dasar sadd al-dzara’ie iaitu menutup pintu-pintu kerosakan seperti mengekang fahaman pluralisme yang bertentangan dengan ajaran Islam serta mengekang penyebaran agama lain kepada masyarakat Islam berdasarkan Artikel 11, Perlembagaan Persekutuan.

Hal ini sepertimana yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan kali ke-113 yang bersidang pada 22 Januari 2019 berkenaan dengan Hukum Berdoa

Bersama-sama dengan Orang Bukan Islam dalam Satu Majlis, bahawa:

Hukum orang Islam meminta dan mengarahkan orang bukan Islam bersama-sama berdoa mengikut anutan agama masing-masing dalam satu majlis yang dihadiri penganut pelbagai agama adalah haram.

Orang Islam adalah dilarang daripada menganjurkan atau menghadiri apa-apa majlis yang melibatkan upacara keagamaan agama lain.

Pengharaman ini sebagai usaha sadd al-dzara’i untuk mengekang penyebaran agama lain dan fahaman pluralisme kepada orang Islam.

Bagi maksud fatwa ini, usaha sadd al-dzara’i merupakan tindakan yang dilakukan bertujuan untuk menutup pintu-pintu atau jalan-jalan yang boleh membawa kepada kerosakan akidah.

Walau apa pun, perenggan 1, 2 dan 3, orang Islam tidak dianggap berdosa, jika berada dalam majlis yang tidak melibatkan upacara keagamaan agama lain dan terdapat orang bukan Islam yang berdoa mengikut anutan agama masing-masing dengan kehendak mereka sendiri.

Oleh yang demikian, berdasarkan keputusan ini, umat Islam adalah tidak dibenarkan terlibat dalam program dan acara membaca doa beramai-ramai dengan membabitkan penganut agama lain. Hal ini kerana, umat Islam hendaklah meminta dan berdoa hanya kepada Allah SWT, manakala doa-doa yang dilakukan oleh penganut agama lain adalah Tuhan sembahan mereka, maka Islam sesekali tidak mengiktiraf perbuatan tersebut.

Secara kesimpulannya, hukum orang Islam membaca doa bersama penganut agama lain di dalam majlis memperingati peristiwa tertentu adalah dilarang. Hal ini berdasarkan sadd al-dzara’ie iaitu bertujuan menutup pintu- pintu kerosakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI