SEGAMAT – Seramai 21 orang anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat menabung RM75 selama 10 bulan bagi bersama-sama menunaikan ibadah korban tahun ini.
Menurut Penolong Pegawai Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) IPD Segamat, Muhammad Fakhrul Razi Samad, 36, pihak IPD Segamat sangat berbangga dengan ketekunan dan komitmen bersungguh-sungguh 21 orang anggota berkenaan bagi melaksanakan ibadah korban.
“Seramai 21 anggota tersebut melakukan tabungan sebanyak RM75 setiap bulan sejak 10 bulan lalu bagi menyertai ibadah korban pada tahun ini.
“Alhamdulillah, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut mengurniakan seekor lembu sempena Aidiladha ini.
“Kesungguhan mereka ini harus dicontohi oleh anggota lain serta orang awam diluar sana. Program diadakan itu turut mendapat kerjasama BAKA IPD Segamat,” katanya ketika ditemui di pekarangan surau Kuaters Kediaman Polis di Segamat – Jementah Segamat, semalam.
Tambah Muhammad Fakhrul, inisiatif menabung itu harus dijadikan ikutan sebagai tanda teladan kepada ahli keluarga anggota bagi menyertai ibadah korban dan juga kepada waris untuk dicontohi.
Sebanyak empat ekor lembu ditumbangkan dalam program yang bermula seawal pukul 6.30 pagi itu termasuk seekor lembu kurniaan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. – KOSMO! ONLINE