LEIPZIG – Pengendali Portugal, Roberto Martinez mengakui penjaring gol kemenangan pasukan itu, Francisco Conceicao layak untuk meraih perhatian dan menikmati kegembiraan pada aksi awal pagi semalam.
Pemain muda tersebut muncul wira Portugal selepas meledak gol kedua Portugal pada masa kecederaan untuk pasukan itu meraih kemenangan 2-1 ke atas Republik Czech pada aksi Kumpulan F saingan Euro di Red Bull Arena.
Juara Euro 2016 itu memilih jalan sukar apabila terlebih dahulu ketinggalan apabila Czech meledak gol pembukaan menerusi Lukas Provod, namun jaringan sendiri Robin Hranac membolehkan Portugal menyamakan kedudukan.
Ketika perlawanan dilihat hampir berakhir dengan keputusan seri, Conceicao muncul melepaskan rembatan ketika berlaku kekalutan di hadapan gawang Czech untuk Portugal meraih kemenangan.
“Francisco adalah contoh terbaik pemain yang bekerja keras setiap masa dan berjaya menuai hasilnya. Dalam tempoh empat bulan lalu, dia memberikan fokus dan aksi cemerlang bersama kelab dan kali ini dia menunjukkan karakter selepas diberikan peluang.
“Pada usia yang muda dia mampu menunjukkan kematangan, bermain secara terus dan mampu menghidu peluang dalam kotak penalti. Sebagai jurulatih, saya sangat bertuah memiliki pemain sepertinya,” katanya.
Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Martinez mengakui pasukannya berdepan sedikit kesukaran untuk menembusi bentang Czech yang memilih untuk bermain secara bertahan, namun percaya ia membantu pasukan untuk bermain lebih baik pada aksi berikutnya.
“Kami terlebih dahulu bolos, namun berjaya bangkit untuk memenangi perlawanan. Kami tewas berdepan Slovenia dan Croatia selepas terlebih dahulu bolos pada aksi persahabatan sebelum ini, namun kali ini kami ketinggalan, tetapi memenangi perlawanan,” ujarnya.
Perlawanan itu juga menyaksikan dua pemain Portugal berjaya memecahkan rekod saingan Euro apabila Cristiano Ronaldo muncul pemain pertama yang beraksi dalam enam edisi saingan, manakala Pepe menjadi pemain tertua membuat penampilan.