fbpx

Bapa hilang 18 jam di Mekah ditemukan semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Basharudin Shah yang dilaporkan hilang 18 jam sejak semalam, dijumpai selamat pada pukul 1.15 pagi hari ini, waktu Malaysia.

PETALING JAYA – Seorang jemaah haji berusia 60 tahun yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk melontar jamrah di Mina, ditemukan dalam keadaan lemah di lokasi berhampiran dengan duit serta telefon bimbitnya hilang.

Mohd. Basharudin Shah, dilaporkan hilang semalam, oleh mutawif pada pukul 7.15 pagi waktu Malaysia, berjaya dijumpai semula oleh seorang jemaah sekitar pukul 1.15 pagi tadi, waktu Malaysia, sebelum dibawa ke Hotel Al-Refa Al- Sud untuk berehat.

Berita kehilangan terbabit diuar-uarkan oleh anak perempuannya, Farah Idriani Mohd. Basharudin Shah, melalui laman Facebooknya sebelum disiarkan semula di Kumpulan Jemaah Haji Malaysia 1445 Hijrah/2024 Masihi.

Menurut Farah Idriani, semasa bapanya dijumpai, keadaan kesihatannya agak merosot sehingga tidak boleh berjalan seperti biasa dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

Katanya, jemaah yang jumpa bapanya dapat tahu berita mengenai kehilangan tersebut melalui hantaran Facebooknya yang telah dikongsi oleh rakyat Malaysia sejak semalam.

“Selepas dapat maklumat tentang keberadaan ayah, saya terus hubungi jemaah tersebut pada pukul 6.30 pagi, waktu Malaysia, dan sehingga kini ayah masih berada di Hotel Al-Refa Al-Sud menunggu pihak agensi datang ambil.

“Semasa dalam perjalanan untuk melontar di jamrah, ayah ambil keputusan untuk keluar dari kumpulannya sehingga menyebabkan dirinya hilang jejak, kemudian dijumpai kumpulan jemaah lain yang perasan melalui tag berbeza yang dipakai ayah,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Kata Farah, kerisauannya semakin bertambah apabila bapanya itu berangkat menunaikan haji seorang diri bersama sebuah syarikat agensi pelancongan swasta tanpa ahli keluarga.

“Saya sedih dan takut selepas dapat tahu ayah hilang di Mekah, kelam kabut kami mahu hubungi sanak saudara untuk beritahu berita tersebut, ayah pergi haji dalam keadaan sihat dan boleh berjalan.

“Setakat pukul 10.13 pagi tadi, saya hubungi pihak agensi untuk pastikan keberadaan ayah, namun diberitahu sehingga kini mereka masih belum sampai di lokasi hotel,” ujarnya.

Tambahnya, bagaimanapun dia tetap bersyukur kerana ada insan baik hati yang sanggup menolong dan meminjamkan tempat penginapan untuk ayahnya di hotel tersebut sementara menunggu dijemput pihak agensi.

“Lega lepas tahu ayah selamat walaupun setakat ini kami masih belum berjaya untuk bercakap dengan ayah kerana jemaah tersebut masih lagi sedang menunaikan ibadah haji.

“Buat masa sekarang, saya akan sedaya upaya untuk ambil tahu keadaan terkini ayah melalui jemaah-jemaah haji lain dan pihak mutawif yang menguruskan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI