ALOR SETAR – Dua mangsa yang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital dipercayai akibat penyakit kencing tikus setelah berkelah di Taman Eko Rimba (TER) Lata Bayu, Baling dilaporkan stabil.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima maklumat tentang mangsa baharu.
“Walau bagaimanapun saya menasihatkan mereka yang pernah mengunjungi kawasan tersebut dan mempunyai simptom penyakit itu agar segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan kerana ia boleh menyelamatkan nyawa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, orang awam juga dinasihatkan supaya tidak mengunjungi pusat peranginan tersebut yang kini ditutup buat sementara waktu.
“Jabatan Kesihatan negeri sudah mengambil sampel air di kawasan tercemar pada semalam dan kawasan peranginan berkenaan ditutup sehingga satu tarikh dimaklumkan nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE