PETALING JAYA – Perkongsian selebriti versatil Sharifah Shahirah dalam Instagram yang memaparkan diri bersama sebuah kereta Volvo telah menarik perhatian pengguna media sosial.
Dalam perkongsian tersebut, Shahirah atau lebih dikenali dengan panggilan Rara, 50, berseloroh meminta agar pemandu jalan raya lain tidak memarahinya jika dia memotong barisan.
“Kalau nampak kereta warna ini potong Q (barisan) jangan marah sebab deejay radio ada siaran langsung, selalu lambat.
“Sudah setahun pakai kereta ini, duit bank asyik negatif, kadangkala tinggal RM2,” katanya.
Pada masa sama, tindakan Shahirah meletakkan riben merah gergasi pada leher yang seharusnya diletakkan di atas kereta turut membuat pengguna media sosial geli hati.
“Kak riben itu letak di kereta bukan di leher.
“Mahal betul kereta ini sampai perlu letak riben di leher,” antara komen dalam Instagram.
Dalam pada itu, barisan rakan selebriti turut tumpang gembira dan mengucapkan tahniah kepada penyampai radio berkenaan.
“Tahniah menang kereta” kata Bell Ngasri.
“Tahniah kakak,” kata Amylea Azizan.
“Tahniah kak Rara,” kata Zoey Rahman.
Kereta jenis dipercayai Volvo EX90 itu dianggarkan berharga RM250,000 hingga RM350,000. – KOSMO! ONLINE