fbpx

Lelaki tetak ibu kekasih sampai mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MANGSA ditemui dalam keadaan berlumuran darah di bahagian dapur selepas ditetak kekasih anaknya di sebuah rumah di Kampung Kuyuh, Pitas kelmarin.

PITAS – Seorang lelaki seperti hilang akal apabila tergamak menetak bakal ibu mertuanya menggunakan sebilah parang hanya kerana tidak berpuas hati dengan tindakan anak mangsa yang juga kekasihnya kerana mahu memutuskan pertunangan mereka dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Kuyuh di sini kelmarin.

Kejadian menyayat hati kira-kira pukul 11.15 malam itu meng­akibatkan Habibah Abungon, 68, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Suspek berusia 29 tahun yang juga seorang penganggur itu turut menyerang tunangnya serta tiga ahli keluarga lain yang berada di rumah berkenaan menyebabkan kesemua mangsa cedera.

Suspek dan kekasihnya dipercayai telah mengikat tali pertunangan sejak tahun 2017.

DI rumah di Kampung Kuyuh, Pitas inilah seorang penganggur mengamuk sebelum menyerang keluarga tunangnya.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd. Izaan Abdullah berkata, hasil siasatan awal mendapati, suspek telah datang ke rumah tunang­nya untuk mengajak wanita ber­usia 30 tahun itu pulang ke kampungnya di Paitan.

Katanya, wanita itu bagai­ma­na­­­pun dikatakan enggan menu­ru­ti permintaan suspek, sebalik­nya memaklumkan kepada lelaki itu mengenai hasrat untuk memutuskan pertunangan mereka.

“Keputusan yang dibuat ­wani­ta itu menyebabkan suspek marah sebelum bertindak agresif dan mengamuk menggunakan sebilah parang,” katanya di sini semalam.

Jelasnya, mangsa kemudian menyerang tunangnya sendiri selain ibu dan bapa wanita itu serta dua beradik lain.

“Tindakan suspek menyebabkan seorang wanita yang juga ibu tunangnya maut akibat kecede­raan parah pada kepala.

“Mangsa lain yang cedera berusia antara 24 hingga 65 tahun,” jelasnya.

Mohd. Izaan berkata, pihaknya yang dimaklumkan mengenai kejadian itu kemudian menemui satu mayat wanita dalam keadaan berlumuran darah di dapur.

Tambahnya, mangsa yang ce­dera pula telah dihantar ke Hospital Pitas untuk rawatan lanjut.

“Kita masih mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Sek­syen 302 Kanun Keseksaan kerana­ membunuh,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI