fbpx

Malaysia sedia laksana rangkaian 5G kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi (kiri) ketika menerima kunjungan hormat Zhuanglong hari ini.

PETALING JAYA – Kerajaan kekal komited untuk melaksanakan dasar model dwi rangkaian 5G (dual network, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, syarikat-syarikat telekomunikasi (telco) yang terlibat dalam pelaksanaan model dwi rangkaian tersebut akan melengkapkan proses pegangan ekuiti dalam Digital Nasional Bhd (DNB) pada 21 Jun ini.

“Sejurus selepas itu, proses mengenal pasti telco yang akan membangunkan rangkaian 5G kedua akan bermula.

“Proses ini hanya akan dibuka kepada syarikat-syarikat telco yang telah melengkapkan pegangan ekuiti (SSA) di dalam DNB,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook selepas menerima kunjungan hormat Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China, Jin Zhuanglong hari ini.

Fahmi berkata, dalam pertemuan lebih 40 minit itu, banyak perkara telah dibincangkan berkait isu telekomunikasi termasuk pelaksanaan rangkaian 5G kedua.

“Pelaksanaan rangkaian 5G kedua bersifat komersial, tetapi kerajaan melalui Kementerian Komunikasi telah memutuskan dasar dwi rangkaian untuk memacu persaingan dan memastikan kemapanan (sustainability) ekosistem telekomunikasi dalam negara kita.

“Selain itu, perbincangan kami turut memberi fokus kepada usaha mengeratkan hubungan antara kedua-dua kementerian,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyentuh teknologi “direct-to-cell” melibatkan satelit orbit rendah Bumi (LEO) yang mungkin dapat membantu mengatasi masalah internet di kawasan terpencil, serta kawasan yang tiada sambungan internet. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI