KOTA BHARU – Sepasang suami isteri terpaksa melalui ujian hidup yang cukup besar apabila perlu menguruskan tiga daripada lima anaknya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) dalam kehidupan serba kekurangan.
Alias Ismail, 60, yang menghidap penyakit berkaitan saraf dan sendi berkata, dia bersama isteri, Mahani Mamat, 54, tidak pernah menjadikan kekurangan itu sebagai alasan untuk tidak menjaga tiga anak OKU mereka.
Menurut Alias, hanya anak kedua, Muhammad Safarudin, dan anak keempat, Nur Shuhada tidak mengalami masalah seperti adik-beradik lain dan mereka kini bekerja di sebuah kilang di Johor Bahru.
“Tiga anak saya yang dikategori sebagai OKU masalah pembelajaran ialah Siti Nurfazilah, 36, yang merupakan anak sulung selain Muhammad Hafiz, 31, dan Nurul Shafikah, 18.
“Sebelum mengalami masalah kesihatan, saya bekerja sebagai siak di masjid dengan pendapatan RM650 sebulan. Namun, selepas sakit, saya tidak lagi mampu bekerja,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumah mereka di Kampung Seribong, Pasir Tumboh di sini kelmarin.
Alias memberitahu, keadaan kesihatannya semakin merosot sejak lima tahun lalu dan dia juga tidak mampu melalukan kerja-kerja berat.
Menurut beliau, isteri juga mengalami masalah sendi dan keseluruhan tangan dan kakinya membengkok sejak lebih tiga tahun lalu.
“Kami hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM550 sebulan. Dua anak yang bekerja di Johor juga mengirimkan sedikit perbelanjaaan untuk menampung kehidupan kami lima beranak.
“Meskipun kami tidak lagi kuat seperti dahulu, sebagai ibu bapa, kami tidak sanggup biarkan tiga anak OKU hidup tanpa tempat berteduh,” katanya.
Alias berkata, kehadiran Aidiladha yang diraikan kelmarin hanya disambut secara sederhana ekoran masalah kewangan yang dialami mereka.
Dalam pada itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan bantuan terus ke akaun bank BSN milik Alias, 0310029000903793 atau hubunginya di talian 010-704 4964.