JOHOR BAHRU – Perselisihan faham dipercayai menjadi motif kes tiga remaja lelaki dilarikan dari sebuah pasar raya sebelum dipukul dan gambar bogel mereka dirakam pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, empat lagi suspek ditahan menjadikan lapan lelaki ditangkap berhubung kes itu setakat ini.
Beliau berkata, pihaknya dalam proses mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan.
“Ada empat tangkapan baharu. Di peringkat siasatan awal, motif dipercayai perselisihan faham antara mangsa dan beberapa suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan tiga remaja berusia 14 tahun mendakwa dilarikan sekumpulan lelaki dari sebuah pasar raya sebelum dipukul dan dirakam gambar bogel pada Sabtu lalu.
Polis menerima aduan berhubung kejadian itu daripada mangsa pada pukul 6.45 pagi semalam.
Remaja itu mendakwa, kejadian pada pukul 8 malam itu berlaku selepas mereka didatangi 10 lelaki termasuk seorang daripadanya dikenali mangsa.
Mangsa mendakwa dilarikan dengan menggunakan tiga buah kereta ke satu lokasi yang tidak dapat dipastikan.
Suspek didakwa memukul dan merakam gambar bogel mangsa serta mengugut akan menularkan gambar itu sekiranya kejadian tersebut terbongkar sebelum ditinggalkan di satu lokasi.
Susulan itu polis memberkas empat lelaki berusia 15 hingga 20 tahun di Skudai malam kelmarin. – KOSMO! ONLINE