PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dipersembahkan laporan terkini Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan hari ini.
Laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam satu kenyataan berkata, laporan itu dipersembahkan oleh Pengerusi RCI berkenaan, Tun Md. Raus Sharif kepada Seri Paduka Baginda di Istana Negara.
“Sesi mengadap bersama Yang di-Pertuan Agong berlangsung selama hampir sejam,” kata Laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Februari lalu dalam satu kenyataan memaklumkan, Sultan Ibrahim memperkenan penubuhan suruhanjaya tersebut berkuat kuasa serta merta selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dipetik berkata, penubuhan RCI itu bagi mencari jalan penyelesaian serta mengorak langkah penambahbaikan berkaitan sebarang isu membabitkan kedaulatan negara.
Menurut Azalina, rakyat Malaysia khususnya rakyat Johor wajar diberi penjelasan mengenai sebab dan faktor sebenar yang mendorong keputusan untuk tidak meneruskan Permohonan Semakan dan Permintaan Tafsiran kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.
Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Malaysia kemudian memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan ICJ, namun pada Mei 2018 kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menarik balik permohonan itu sebelum kes dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018. – KOSMO ONLINE