fbpx

Sultan Kelantan cemar duli sembelih dua ekor lembu korban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Muhammad V (tiga dari kanan) berkenan menyembelih dua ekor lembu pada Majlis Ibadat Korban Jama’ie anjuran Maik di Padang Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petra dekat Panji, Kota Bharu hari ini. Foto oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA/KOSMO!

KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli untuk menyembelih dua daripada 53 ekor lembu sempena Majlis Ibadat Korban Jama’ie anjuran Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) di Padang Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petra dekat Panji di sini hari ini.

Baginda tiba kira-kira pukul 10.40 pagi diiringi Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Muhammad Rizam Tengku Aziz dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.

Sultan Muhammad V berkenan menyembelih dua ekor lembu masing-masing seberat hampir satu tan sebelum meluangkan masa kira-kira 40 minit bersama-sama kira-kira 400 petugas majlis ibadah korban itu.

Tujuh daripada 53 ekor lembu itu dikurniakan oleh Sultan Muhammad V untuk majlis korban pada tahun ini.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr. Hasnan Ramli berkata, daging-daging korban itu akan diagih kepada 2,000 ketua isi rumah (KIR) yang terdiri daripada golongan asnaf, fakir dan miskin menerusi masjid negeri, bandar dan jajahan terpilih.

Menurutnya, setiap KIR yang terpilih akan menerima sebanyak dua kilogram daging dan tulang belulang korban.

“Lembu-lembu korban itu juga dikurniakan oleh Tengku Muhammad Fakhry bersama bondanya, Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Selain itu, lembu itu turut disumbangkan oleh kerabat Diraja Kelantan, agensi kerajaan dan orang awam,” ujarnya.

Menurut Hasnan, Maik mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua agensi dan pihak yang bersama-sama mengimarahkan majlis ibadah korban pada tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI