PUTRAJAYA – Dua pengarah syarikat didenda atas pertuduhan memiliki dengan tujuan untuk menjual kelengkapan komunikasi tidak diperakui iaitu walkie-talkie jenama Baofeng model BF-888S dan Wireless Adapter pelbagai jenama.
Kedua-dua mereka masing-masing didenda sebanyak RM5,500 dan RM2,500 oleh Hakim Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Amir Shah Amir Hassan baru-baru ini.
Amir Shah membuat keputusan itu selepas kedua-dua Orang Kena Saman (OKS) tersebut mengaku bersalah bagi pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Kedua-dua mereka dituduh di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
“OKS pertama seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun didakwa atas dua kerana memiliki dengan tujuan untuk menjual lima unit walkie-talkie jenama Baofeng model BF-888S dan Wireless Adapter pelbagai jenama (enam) di Lintas Plaza, Kota Kinabalu pada 11 Oktober 2023.
“Manakala OKS kedua seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun didakwa atas kerana memiliki dengan tujuan untuk menjual dua unit walkie-talkie jenama Baofeng model BF-888S di Sinsuran Complex, 88000 Kota Kinabalu pada tarikh yang sama.
“Bagi kesemua pertuduhan tersebut, OKS boleh dikenakan denda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” kata MCMC dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, MCMC mengingatkan orang ramai supaya tidak melibatkan diri dengan aktiviti menjual, memiliki dan menggunakan apa-apa kelengkapan komunikasi yang tidak mempunyai pemerakuan.
“Hal ini bagi mengelakkan kesan buruk penggunaannya yang boleh mendatangkan impak negatif kepada pengguna.
“Sebagai contoh, penggunaan kelengkapan komunikasi tidak diperakui boleh mengakibatkan gangguan kepada rangkaian telekomunikasi, kualiti perkhidmatan dan akhirnya mengundang masalah kepada pengguna lain,” ujarnya.
Selain itu, MCMC memaklumkan, kelengkapan komunikasi tidak diperakui mungkin tidak berfungsi dengan baik dan mengakibatkan kualiti perkhidmatan yang rendah dan ketidakpuasan pengguna.
“Orang ramai adalah dinasihatkan supaya menggunakan aplikasi ‘MCMC Check Your Label’ untuk menyemak status pemerakuan sesebuah kelengkapan komunikasi sebelum membeli dan menggunakannya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE