PETALING JAYA – Aliran trafik di lebuh raya utama pada sebelah pagi ini dilaporkan lancar ekoran ramai perantau sudah bergerak pulang dari kampung halaman masing-masing semalam.
Difahamkan, ramai perantau yang sudah memulakan kerja hari ini disebabkan cuti sempena Aidiladha sehari sahaja.
Bagaimanapun, laporan trafik semasa yang dikongsikan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Facebooknya memaklumkam, terdapat kesesakan di beberapa laluan akibat kejadian kemalangan.
“Maklumat awal kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan di Kilometer (KM) 365.0 arah selatan dari Sungkai ke Slim River. Trafik perlahan. Jaga jarak selamat kenderaan anda.
“Di lebuh raya yang sama, turut berlaku lori rosak di KM 277.8 arah selatan dari Ipoh (U) ke Ipoh (S) menyebabkan lorong kiri terhalang,” lapor LLM.
Sementara itu, terdapat kemalangan berlaku di Lebuh Raya Pantai Timur 2 melibatkan KM 270.8 arah selatan dari Cheneh ke Jabor.
“Lorong kecemasan terhalang bagaimanapun aliran trafik masih lagi lancar,” kata LLM. – KOSMO! ONLINE