PETALING JAYA – Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha semalam, ramai yang menerima sumbangan daging korban dan pastinya menu berasaskan daging akan menjadi hidangan pembuka selera untuk beberapa hari ini.
Oleh itu, Public Health Malaysia (PHM) berkongsi petua untuk melembutkan daging dengan menggunakan daun betik.
Katanya, daun betik mengandungi enzim papain yang berfungsi sebagai pemecah protein kompleks dalam daging menjadi fragmen-fragmen kepada lebih kecil.
“Papain juga membantu agar daging lebih cepat empuk ketika dimasak.
“Jadi, cara penggunaannya adalah dengan menghancurkan daun betik dan gosok pada keseluruhan permukaan daging.
“Kemudian, bungkus daging menggunakan daun betik dan membiarkan selama beberapa jam untuk mendapatkan tekstur daging yang lebih empuk dan sedap,” katanya.
Selain itu, antara kebaikan kandungan enzim papain, ia digunakan secara meluas dalam perubatan bagi mengurangkan bengkak (papase).
“Papain juga boleh digunakan untuk membuang sel kulit mati dan menjadikan wajah lebih licin,” kata PHM. – KOSMO! ONLINE