JOHOR BAHRU – Tiga remaja berdepan detik cemas apabila menjadi mangsa culik kira-kira 10 lelaki termasuk seorang rakan dikenali dalam kejadian di sebuah pasar raya di Skudai di sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian pada pukul 8 malam, semua remaja lelaki yang berusia 14 tahun itu bukan sahaja diculik malah dipukul selain dirakam gambar bogel.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, ketika berada di kawasan pasar raya berkenaan, ketiga-tiga mangsa didatangi kira-kira 10 lelaki sebelum melarikan mangsa dengan menaiki tiga buah kereta.
“Mangsa dibawa ke sebuah lokasi tidak dikenal pasti lalu memukul mangsa dan merakam gambar bogel selain mengugut akan menyebarkan gambar sekiranya kejadian itu terbongkar.
“Suspek kemudiannya melarikan diri bersama-sama barang peribadi milik mangsa dan meninggalkan ketiga-tiga remaja lelaki itu di lokasi sama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Balveer Singh berkata, mangsa mengalami lebam pada bahagian muka dan lengan kemudian berjaya diselamatkan orang awam sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Ujarnya, ketiga-tiga mangsa kemudian membuat satu laporan polis kira-kira pukul 6.45 pagi semalam.
Katanya, susulan laporan itu, polis telah menahan empat lelaki berusia antara 15 hingga 20 tahun kira-kira pukul 8 malam hari yang sama.
Jelasnya, polis turut merampas kenderaan yang digunakan suspek selain barangan peribadi milik mangsa turut ditemui.
“Keempat-empat suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga 20 Jun ini untuk membantu siasatan,”katanya.
Kes disiasat menyiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik, Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. – KOSMO! ONLINE