fbpx

Elak terlepas pandang isu bangunan sekolah daif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radzi menyampaikan sumbangan kelengkapan sekolah pada Majlis Sumbangan Kembali Ke Sekolah di Pusat Khidmat DUN Bukit Kayu Hitam di Napoh, hari ini.

JITRA – Kementerian Pendidikan akan memastikan mana-mana bangunan sekolah yang daif akan diambil tindakan segera sama ada membina baharu atau menyelenggara infrastruktur tersebut.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, pihaknya memantau perkara itu secara dekat dengan turun sendiri ke sekolah terlibat agar tidak berlaku isu terlepas pandang.

“Kita memang pantau secara dekat hal tersebut kerana keadaan bangunan sekolah ini tidak statik.

“Mungkin pada tahun ini bangunan sekolah itu dalam keadaan baik tetapi tahun depan telah menjadi rosak dan daif akibat banjir serta bencana alam lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kelengkapan sekolah kepada pelajar terpilih di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kayu Hitam di Napoh dekat sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya mengambil pendekatan untuk mengklasifikasikan isu bangunan sekolah daif mengikut keutamaan.

“Sama juga dalam soal penyelenggaraan dan pembinaan kemudahan baharu seperti dewan dan sebagainya di seluruh negara, kita akan lihat perkara mana yang lebih mendesak dan perlu didahulukan.

“Saya sendiri telah memberi arahan kepada warga kementerian supaya memastikan penyelenggaraan dibuat secepat mungkin. Masuk saja 2021, kita akan lakukannya secepat mungkin mengikut keutamaan,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI