KUALA LUMPUR – Wanita dan fesyen tidak boleh dipisahkan, malah sejak berusia kanak-kanak lagi ramai yang suka berhabis duit memenuhi keperluan mengikut cita rasa dan bajet masing-masing.
Melihat kepada potensi industri berkaitan fesyen tidak kira yang moden dan juga muslimah yang sentiasa mendapat tempat dalam kalangan pelanggan, telah memberi peluang kepada seorang usahawan menceburi bidang tersebut sejak tahun lalu.
Pelbagai bidang bisnes yang diceburi oleh Pengasas Syazia Collection Sdn. Bhd. (Syazia Collection), Datuk Suhaila Semaru, 40, sebelum ini telah mematangkan dirnya menjadi usahawan yang berpengalaman tetapi gerak hatinya kini lebih tertumpu kepada bidang fesyen.
Beliau yang menyukai fesyen, pakaian yang cantik-cantik dan juga penampilan yang menawan membuatkan beliau sanggup mengeluarkan modal yang besar untuk membina kerjayanya dalam bidang fesyen.
Sehingga kini, usahawan itu memiliki dua buah butik menawarkan pelbagai fesyen pakaian muslimah moden yang membolehkan minatnya untuk melihat lebih ramai wanita berpakaian cantik, moden dan bergaya meskipun terpaksa bertudung dan berhijab dapat direalisasikan.
“Saya suka memberi idea dan mengekspresikan kecantikan itu dalam fesyen pakaian kerana suka melihat wanita berpakaian cantik dan bergaya.
“Saya juga mahu mengembangkan perniagaan ini dengan lebih meluas dan berkongsi rezeki bersama lebih ramai usahawan, ejen dan pengedar di seluruh negara untuk memasarkan pelbagai fesyen pakaian yang dihasilkan oleh Syazia Collection,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu majlis amal anjuran Syazia Collection untuk menyerahkan sumbangan kepada 100 asnaf terpilih dari beberapa kawasan di Gombak dan juga Wangsa Maju di sini baru-baru ini.
Turut hadir Pengarah Projek dan juga Pegawai Khas kepada Syazia Collection, Julianah Ishak.
Lebih menarik, Suhaila memberitahu, syarikatnya juga telah menempa nama di pasaran antarabangsa khususnya di kota fesyen di Paris, Perancis kerana berjaya membawa fesyen muslimahnya dalam satu majlis keramaian anjuran rakan niaganya di sana baru-baru ini.
Melalui pengalaman tersebut, beliau bukan sahaja dapat menimba pengalaman dan ilmu baharu dalam dunia fesyen tetapi juga bertemu dengan pakar-pakar fesyen dari pelbagai negara.
Sementara itu, mengenai penganjuran majlis tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diadakan di Gombak baru-baru ini, Julianah berkata, setiap asnaf menerima wang tunai sebanyak RM500 beserta barangan dapur berupa beras dan barangan basah seperti ayam dan daging untuk meringankan beban golongan itu untuk menyediakan juadah kepada keluarga masing-masing.
Julianah menerangkan, untuk projek amal tersebut, syarikat telah memperuntukkan sebanyak RM200,000 hingga RM300,000 untuk pemberian sumbangan tersebut.
Tambah beliau, syarikat aktif menjalankan kerja-kerja amal dan sentiasa turun padang bertemu masyarakat dan kumpulan yang memerlukan bantuan khususnya B40 serta tidak hanya menunggu pada bulan Ramadan dan Syawal semata-mata tetapi sepanjang tahun.
Menurutnya, Syazia Collection mahu mendekati kumpulan asnaf mendengar keluhan dan masalah mereka agar dapat memperbaiki lagi aktiviti dan kerja-kerja amal yang dilakukan untuk penganjuran masa depan.
“Ini juga adalah hasil didikan ibu bapa Suhaila yang menjadikan amalan bersedekah sebagai kebiasaan buat dirinya supaya tidak melupakan kesusahan orang lain ketika mempunyai nama dan harta.
“Selagi Syazia Collection diterima pelbagai pihak, insyaAllah rezeki kami tidak akan putus dan program CSR akan lebih kerap dijalankan di seluruh Malaysia,” jelasnya.
Melihat kepada persekitaran ekonomi yang semakin mencabar, syarikat tersebut akan cuba sedaya upaya membantu golongan yang tertinggal daripada menikmati semua manfaat yang dihulurkan oleh kerajaan, badan bukan kerajaan dan juga badan amal yang lain.
“Kami ada cara tersendiri untuk mendekati mereka kerana saya dan Suhaila sentiasa mencari idea-idea menarik untuk menganjurkan majlis amal agar dapat memenuhi keperluan golongan yang memerlukan,” terang Julianah lagi. -KOSMO! ONLINE