LONDON – Liverpool berjaya memastikan mereka kekal mengungguli carta Liga Perdana Inggeris menjelang perayaan Hari Krismas kali ini apabila membelasah Crystal Palace 7-0 di Selhurst Park kelmarin.
Gol jaringan Takumi Minamino, Sadio Mane dan Jordan Henderson serta masing-masing dua gol dari Mohamed Salah dan Roberto Firmino menyaksikan mereka berjaya membawa pulang tiga mata penuh.
Kemenangan itu bukan sahaja menggembirakan skuad The Reds tetapi ia juga menyaksikan pengurus mereka, Jurgen Klopp berjaya mengatasi reputasi rakan-rakan sejawatnya di kelab itu sebelum ini dalam era Liga Perdana Inggeris.
Kejayaan itu menyaksikan Klopp menambah koleksi kemenangan ke-127 dalam saingan liga sekali gus mengatasi rekod Rafael Benitez yang mengumpul 126 kemenangan sepanjang bersama Liverpool.
Benitez meraih kemenangan sebanyak itu selepas mengemudi Liverpool dalam 228 perlawanan, namun Klopp hanya melakukannya sepanjang 196 aksi sahaja.
Prestasi yang terus konsisten dipamerkan oleh Liverpool biarpun berdepan masalah kecederaan menyebabkan ramai pemerhati percaya pasukan itu mampu untuk mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi mereka musim lalu.
Ketua pasukan Liverpool, Henderson mengakui sangat teruja dengan naluri gol dan kemenangan yang dimiliki oleh rakan sepasukannya untuk membolehkan mereka meraih kemenangan besar.
“Kami bermain dengan sangat baik dan menyempurnakan semua peluang yang muncul. Kami mendominasi sepanjang perlawanan.
“Kami mempunyai peluang untuk melakukan perkara seperti ini sejak beberapa perlawanan lalu lagi tetapi sering melepaskan peluang seperti itu. Kami perlu terus kekalkan momentum seperti ini dan bekerja keras untuk meraih kejayaan seperti mana musim lalu,” katanya. – Agensi