HAMBURG – Wira Belanda, Wout Weghorst seakan hilang kata-kata selepas berjaya beri impak besar untuk bantu pasukan tewaskan Poland 2-1 pada aksi pertama Kumpulan D Euro 2024 kelmarin.
Lebih mengujakan, Weghorst yang masuk bagi menggantikan Memphis Depay pada minit ke-81 hanya memerlukan tempoh dua minit untuk menoktahkan gol kemenangan The Oranje.
“Sangat gembira yang tidak dapat digambarkan kerana detik itu cukup istimewa. Secara peribadinya, inilah detik yang saya sering impikan.
“Ia cukup penting untuk mengekalkan motivasi pasukan. Ia juga beri perkembangan baik buat kami kerana matlamat utama pasukan adalah untuk memenangi kejohanan ini,” katanya.
Terdahulu, Adam Buksa mencipta sensasi apabila menjaringkan gol pertama Poland, namun Cody Gakpo kembali menyamakan kedudukan sebelum Weghorst menyerlahkan kualiti yang ada padanya.
Sementara itu, pengendali Belanda, Ronald Koeman yang memburu kejuaraan kedua selepas melakukannya ketika bergelar pemain pada edisi 1988 akur The Oranje bernasib baik untuk mendapatkan kemenangan.
“Selepas satu jam, sepatutnya kami sudah mampu mendahulu 4-1 kerana kami bermain baik, namun tidak dapat sempurnakan setiap peluang.
“Ini adalah detik bahaya buat kami namun kami bernasib baik kerana berjaya mendapatkan jaringan kedua,” ujarnya. – AGENSI