fbpx

Kerajaan pertimbang hukuman lebih berat kesalahan curi kabel komunikasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara kejadian pencerobohan membabitkan menara telekomunikasi dilaporkan di Kampung Sungkup, Kedah pada tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mempertimbangkan hukuman lebih berat bagi kesalahan mencuri kabel komunikasi sehingga menyebabkan gangguan perkhidmatan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, hukuman itu akan dicadangkan dalam pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang sedang diperincikan oleh Jabatan Peguam Negara.

Beliau berkata, pihaknya akan meminta pasukan di Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk meneliti dan memberi beberapa ulasan serta cadangan hukuman berikutan draf pindaan akta itu sedang diperinci melibatkan beberapa peruntukan mengenai aspek mutu perkhidmatan telekomunikasi.

“Pindaan ini kita buat bukan hanya kerana melihat kejadian kecurian kabel dan vandalisme, tetapi juga disebabkan mutu perkhidmatan komunikasi.

“Kerana ini antara perkara yang sering dibangkitkan oleh pengguna. Oleh itu, ia dalam penelitian sebelum kita bawa ke Parlimen nanti,” katanya kepada pemberita semasa Program Korban Perdana Lembah Pantai, di sini hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai langkah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menubuhkan pasukan ‘duta online’ untuk menyampaikan maklumat dan menangkis fitnah di alam maya, Fahmi berkata, pihaknya tiada masalah berhubung perkara itu.

“Saya tidak lihat penubuhan itu akan menyebabkan mereka masuk bidang pihak-pihak yang lain, tetapi penyelarasan dari segi maklumat yang hendak disampaikan mesti dilakukan.

“Insya-Allah saya akan meneliti perkara ini bersama menteri kerana saya belum berkesempatan untuk mendapatkan taklimat penuh daripada KPKT mengenai usaha itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI