fbpx

Dua lelaki hilang dalam tragedi bot karam di Belaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan SAR memulakan operasi pagi tadi bagi mencari dua mangsa bot karam di Jeram Menjawah, berhampiran Rumah Panjang (Rh) Apan Long Menjawah, Belaga.

BELAGA – Dua lelaki hilang selepas dibawa arus deras manakala tiga yang lain berjaya diselamatkan selepas bot yang mereka naiki karam di Jeram Menjawah, berhampiran Rumah Panjang (Rh) Apan Long Menjawah di sini semalam.

Kedua-dua mangsa yang hilang itu dikenali sebagai Balavishnu Permaloo, 39, dan Rhuban Apparoo, 30, dari Padang Serai, Kedah.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 4.33 petang semalam dan segera menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga ke lokasi.

Menurutnya, kejadian melibatkan sebuah bot panjang yang membawa lima orang termasuk pengemudi bot telah karam pada pukul 4 petang.

“Dilaporkan terdapat tiga mangsa telah selamat, manakala dua penumpang bot hilang.

“Semasa kejadian, bot yang dinaiki karam disebabkan arus deras di Jeram Menjawah.

“Jurumudi bot berusaha menyelamatkan kesemua penumpang, namun dua penumpang hanyut dibawa arus deras,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada pukul 7.55 pagi tadi melibatkan anggota bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Rela. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI