PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kerajaan tidak menghapuskan subsidi, sebaliknya apa yang dilakukan ketika ini ialah bagi memastikan pengurusannya dilaksanakan secara lebih cekap.
Katanya, kerajaan juga masih menanggung subsidi berkaitan diesel di Semenanjung Malaysia dengan peruntukan kewangan sekitar RM7 bilion.
“Subsidi tidak dihapuskan, tetapi apa yang dilakukan adalah memastikan pengurusan subsidi yang lebih cekap, tidak tiris dan sampai kepada kumpulan rakyat yang selayaknya.
“Malah, Kerajaan masih perlu menanggung sekitar RM7 bilion untuk subsidi berkaitan diesel di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Anwar berkata, tujuan utama dalam dasar penyasaran subsidi diesel adalah bagi memastikan pembaziran subsidi tidak lagi diteruskan sambil memastikan penjimatan mesti dipulangkan kepada rakyat terbanyak.
“Hasil penjimatan daripada penyasaran subsidi ini tentunya akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan lain-lain sektor yang memberi dampak terbesar kepada rakyat.
“Selain itu, kerajaan masih mengekalkan harga minyak masak sawit tulen kemasan botol pada harga RM6.90 (1kg), RM13.30 (2kg), RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg) sejak mengambil alih tampuk kepimpinan,” jelasnya.
Katanya, pengekalan harga itu dibuat meskipun harga minyak sawit mentah (CPO) dunia meningkat melebihi harga ambang RM3,890/mt.
“Sebagai contoh dengan harga CPO pada bulan Mac RM4,215/mt dan April RM4,256/mt, harga minyak masak sawit tulen 5kg boleh meningkat sehingga RM33-RM35,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE