STUTTGART, JERMAN – Denmark membuka kempen Euro 2024 dengan langkah kiri apabila hanya mampu mengutip satu mata selepas sekadar mencatat kemenangan seri 1-1 ke atas Slovenia pada aksi sulung Kumpulan C, sebentar tadi.
Pada aksi di Stuttgart Arena itu, Denmark berpeluang untuk melakar kemenangan apabila terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi bintang utamanya, Christian Eriksen selepas bijak menyudah hantaran cantik Jonas Wind untuk mengatasi penjaga gol Slovenia, Jan Oblak pada minit ke-16.
Tindakan Denmark menurunkan bintang utamanya, Rasmus Hojlund, Eriksen dan Wind di barisan hadapan dilihat mengucar-kacir benteng pertahan Slovenia dan hampir untuk menjaringkan gol kedua mereka.
Tersentak dengan gol tersebut, Slovenia mula meningkatkan tempo permainan mereka namun beberapa serangan bahaya mereka gagal menguji penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel sepenuhnya.
Bersambung di babak kedua, kedua-dua pasukan makin rancak mengatur rentak serangan dan Denmark berpeluang menjaringkan gol kedua mereka namun cubaan Hojlund berjaya dihalang kemas Oblak.
Ketika Denmark memiliki penguasaan lebih baik, secara tiba-tiba Slovenia berjaya mencipta sensasi apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-77 menerusi jaringan pemain pertahanannya, Erik Janza.
Kedua-dua pasukan kembali bersemangat dan mencari gol kemenangan namun keputusan 1-1 kekal sehingga ke wisel penamat dan masing-masing mengutip satu mata pada aksi pembukaan peringkat kumpulan tersebut. – KOSMO! ONLINE