NEW DELHI – Sejumlah penumpang sebuah kereta api di India sanggup tidur di tepi tandas dalam gerabak yang sesak berikutan masalah ketiadaan ruang, lapor laman berita News18 kelmarin.
Satu rakaman video yang memaparkan kejadian itu menjadi tular selepas ia dimuat naik di media sosial.
Klip video tersebut menunjukkan beberapa orang tidur di atas lantai, berhampiran pintu dan di luar tandas dalam gerabak.
Berikutan penyebaran gambar itu di platform X, netizen kemudian mengkritik pihak berkuasa dan menyatakan kekecewaan mereka terhadap keadaan semasa kereta api di India.
Seorang netizen yang berkongsi video itu menulis: “Tempat duduk, lantai, pintu, lorong, bilik mandi dan di mana sahaja ada ruang, orang ramai pasti duduk dan tidur.
“Menteri Kereta Api, tolong beri perhatian kerana kereta api juga untuk orang miskin. Sila tambah bilangan gerabak.” – AGENSI