KOTA KINABALU – Seorang lelaki maut dalam pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki di pusat hiburan di Jalan Bandaran Berjaya di sini awal pagi tadi.
Mangsa yang berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini, manakala rakannya yang berusia dalam lingkungan 20-an kritikal dan menerima rawatan di hospital.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 2 pagi daripada pekerja di pusat hiburan berkenaan.
“Sepasukan polis dikerahkan ke lokasi kejadian dan siasatan mendapati kedua-dua mangsa terlibat pergaduhan dipercayai akibat perselisihan faham.
“Mangsa yang parah dihantar ke hospital namun salah seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia. Mangsa yang parah masih menerima rawatan,” katanya.
Kasim memberitahu, pergaduhan dipercayai bermula di dalam premis pusat hiburan. Mangsa adalah awak-awak bot nelayan warga Indonesia yang mempunyai dokumen.
“Pemeriksaan terhadap rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di premis itu mengesan ada suspek kejadian tetapi identiti mereka belum dikenal pasti,” katanya. – KOSMO! ONLINE