fbpx

Sindiket Trojan Spymax lumpuh, 2 lelaki Malaysia diekstradisi ke Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua rakyat Malaysia diextradisi ke Singapura selepas disyaki terlibat sindiket Trojan Spymax.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki tempatan yang dipercayai ahli sindiket penipuan antarabangsa dikenali sebagai ‘Trojan Spymax’ diekstradisi ke Singapura, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek berusia 27 dan 48 tahun itu ditahan di Pulau Pinang dan Johor pada Rabu lalu.

Katanya, mereka ditahan dalam satu operasi dijalankan JSJK dan Polis Antarabangsa (Interpol) bersama Pasukan Polis Singapura (SPF) selepas setahun menjalankan siasatan.

“Kedua-dua mereka disyaki ahli sindiket ‘Trojan Spymax’ yang terbabit secara langsung dengan sindiket penipuan antarabangsa yang giat menipu di rantau Asia khususnya di Singapura.

“Dua individu yang ditahan berperanan sebagai penjual ‘malware’ (perisian hasad) dan pengurus sewaan ‘server’ (pelayan) yang menempatkan fail APK (Android Package Kit),” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurut beliau, pihaknya merampas tiga buah telefon pintar pelbagai jenama, pasport, kad pengenalan dan jam tangan dengan anggaran nilai RM6,000.

“Hasil siasatan mendapati sindiket ini menawarkan jualan produk dan perkhidmatan melalui media sosial Facebook, Instagram dan seumpamanya.

“Mangsa yang berminat untuk membeli produk akan diberikan pautan fail APK yang perlu dipasang ke telefon mereka sebagai sebahagian daripada proses pembelian,” jelasnya.

Menurut beliau, fail yang diberikan suspek adalah perisian bersifat ‘malicious’ (perisian perosak) yang boleh menggodam telefon mangsa.

“Apabila fail APK itu dibuka, ia memberikan akses kepada sindiket penipuan untuk membaca kata laluan guna sekali (OTP) pada sistem pesanan ringkas (SMS), ‘screen mirror’, senarai kenalan dan ‘remote access’ (akses jauh) kepada peranti milik mangsa.

“Pasukan terlibat mengambil masa satu tahun dalam mengenal pasti, mengumpul dan mengesahkan data identiti ahli-ahli sindiket yang berselindung di sebalik teknologi internet dan komputer dari beberapa negara berbeza.

“Semua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada pihak Interpol untuk diekstradisi ke Singapura bagi tujuan pendakwaan,” tambahnya.

Melalui tangkapan ini, beliau percaya telah melumpuhkan infrastruktur dan gerak kerja sindiket malware APK berkenaan di rantau ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati ketika memuat turun dan memasang sebarang perisian pada peranti masing-masing.

“Sebarang muat turun fail aplikasi ke telefon pintar hendaklah dilakukan melalui platform yang selamat seperti Google Play dan App Store sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI