MELAKA – Tiga syarikat pengangkutan akan didakwa di Kompleks Mahkamah Melaka minggu hadapan atas kesalahan melanggar peraturan menaikkan caj perkhidmatan.
Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar berkata, syarikat terbabit didapati mempunyai kad fleet di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) tetapi bertindak menaikan caj perkhidmatan.
Beliau berkata, syarikat terbabit telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
“Melaka menjadi negeri pertama berjaya menghasilkan tiga kes selepas harga diesel diselaraskan mengikut pasaran semasa bermula 10 Jun lalu dengan harga permulaan di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada RM3.35 seliter.
“KPDN melalui penguatkuasaan Ops Kesan 2.0 yang dijalankan sejak 6 Jun lalu telah membuat pemeriksaan terhadap 41 penerima manfaat SKDS 2.0 dan tiga kes telah berjaya dihasilkan serta didakwa di mahkamah minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan Ops Kesan 2.0, tinjauan barangan keperluan asas sempena Hari Raya Aidiladha di Pasar Bachang di sini, hari ini.
Sementara itu Norena berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan kekurangan barang keperluan asas serta barang kawalan yang diterima oleh KPDN
Melaka menjelang Hari Raya Aidiladha 2024.
“Harga ayam tidak naik dan kekal pada harga RM10.20 sekilogram, begitu juga ikan, sayur dan sebagainya tidak berlaku sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE