fbpx

PRK Sungai Bakap: KDN beri jaminan keselamatan terjamin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin (tengah, depan) hadir pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat India di Dewan Serbaguna Sungai Bakap, hari ini. Foto oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sekali lagi memberi jaminan akan aspek keselamatan sepanjang proses Pilihan Raya Kecil (PRK) ) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, 6 Julai ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kira-kira seramai 600 pegawai dan anggota polis akan bertugas sepanjang tempoh PRK bagi memastikan keselamatan semua pihak.

Menurutnya, beliau telah diberi taklimat oleh Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad dan pasukannya mengenai aspek keselamatan yang merangkumi tiga fasa bermula dari Hari Penamaan Calon sehinggalah pada Hari Pengundian nanti.

“Ada jaminan keselamatan. Tak perlu bimbang, tak perlu takut. Itu penting bagi memastikan bahawa sepanjang tempoh perjalanan kempen, pemilih di Sungai Bakap khususnya, tidak perlu ada kebimbangan daripada sudut keselamatan sebab pilihan raya ini merupakan pesta demokrasi.

“Tidak boleh ada elemen-elemen yang boleh ditafsirkan sebagai mencetuskan kebimbangan. Apa lagi daripada aspek keselamatan.

“Jadi, fasa ketiga adalah hari pengundian itu sendiri supaya pemilih dapat keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mereka di kesemua pusat pengundian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Beramah Mesra Bersama Masyarakat India Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Sungai Bakap di sini, hari ini.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian Nor Zamri pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.

Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lepas menentang calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. Beliau mendapat 15,433 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI