PETALING JAYA – Keadaan rumah sewa ditinggal berantakan, penyampai radio dan pelakon Sharifah Shahirah meluahkan rasa bengang apabila penyewa rumahnya didakwa tidak menjaga kediamannya dengan baik.
Ujar Shiera atau nama sebenarnya Sharifah Sahirah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 49, dia terpaksa menanggung kerugian apabila terdapat banyak kerosakan pada perabot serta perkakas lain dalam kediaman tersebut .
“Halimah (penyewa) saya tak tahu nak cakap eh semua teruk. Saya tak tahu kamu makan macam mana tapi memang kotorlah semua.
“Saya memang nak kena buang semua barang saya. Saya memang ‘total lost’.
“Ada orang nak masuk rumah tak nak barang ini semua. Awak memang merugikan saya banyak. Saya tak boleh tunggu duit awak semua saya kena buat laporan polis,” tegasnya menerusi hantaran dalam Instagram.
Enggan api amarah terus menguasai diri, isteri kepada pelakon Ijoy Azhari itu menganggap segala apa yang berlaku sebagai ujian di bulan Zulhijjah.
“Baru beli (perabot) lepas tu baru duduk setahun lebih je. Katil ni pun aku beli juga dia pergi tinggalkan tilam dia. Tilam aku mana?
“Beli untuk dia masuk sampai hilang tilam aku dia bawak pula. Dugaan bulan Zulhijjah,” ujarnya menahan geram.
Semakan Kosmo! Online menerusi ruangan komen hantaran terbabit, rata-rata netizen menyarankan Shiera untuk melaporkan kepada pihak berkuasa dan tidak beri muka kepada penyewa tersebut.
“Penyewa dari neraka, jangan bagi muka kak, buat laporan polis, heret ke muka pengadilan, kasihan takut orang lain pula terkena,” demikian komen netizen itu.
“Ya Allah macam kapal pecah, orang ke beruk duduk dalam rumah ni,” soal seorang lagi netizen. – KOSMO! ONLINE