fbpx

Kecam orang guna lorong kecemasan, rupanya Smart Lane diaktifkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar pengguna menggunakan Smart Lane di lorong kecemasan di sebuah lebuh raya kendalian Plus.

PETALING JAYA – Seorang pengguna TikTok disindir oleh ramai apabila memuat naik video mengecam kenderaan yang melalui lorong kecemasan di lebuh raya, namun sebenarnya ia kemudahan Smart Lane yang telah diaktifkan.

Video itu dimuat naik seorang wanita pada TikToknya semalam dengan kapsyen, ‘orang-orang kaya di Malaysia, jalan sesak dia orang guna lorong kecemasan lebuh raya (kendalian) Plus’.

Bagaimanapun, ramai yang menyindir serta memerli wanita tersebut kerana masih tidak mengetahui kemudahan Smart Lane di lorong kecemasan yang diaktifkan untuk waktu-waktu tertentu oleh syarikat konsesi lebuh raya bagi mengurangkan kesesakan.

“Orang kaya ke, miskin ke boleh guna Smart Lane. Janji cerdik, itu saja,” kata seorang pengguna TikTok.

“Lapor polis kak, lepas tu tanya kenapa saya tak tahu pasal Smart Lane,” komen pengguna lain.

“Sebelum nak ‘sound’ orang, pergi ‘check’ dulu masa-masa Smart Lane dibuka kepada pengguna jalan raya masa perayaan,” ujar seorang lagi pemilik akaun TikTok.

Seorang lagi individu memaklumkan, video tersebut berkemungkinan di kawasan Nilai ke Seremban yang mana terdapat kemudahan Smart Lane di situ.

“Macam Lebuh Raya Utara-Selatan di kawasan Nilai-Seremban. Sini memang Smart Lane dari lepas kilang Recron sampai sebelum Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban. Boleh guna Jumaat hingga Ahad. Ada waktu sahaja boleh guna, akhir pukul 7 malam. Kalau nak guna Smart Lane baca dulu papan tanda kuning,” jelasnya.

Sebelum ini, PLUS Malaysia Berhad (Plus) memaklumkan pihaknya mengaktifkan laluan Smart Lane di 18 lokasi tumpuan trafik di lebuh raya bagi membantu melancarkan pergerakan trafik di lokasi kritikal sempena perayaan Aidiladha.

Ketika Smart Lane diaktifkan, lorong kecemasan yang sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan untuk mengoptimumkan penggunaan semua laluan dan meningkatkan kapasiti lorong di laluan kritikal lebuh raya.

Orang ramai boleh mengenal pasti laluan Smart Lane ini melalui pemasangan Lampu Hijau Berkelip (Green Flashing Light) untuk menunjukkan bahawa laluan Smart Lane diaktifkan dan boleh digunakan di lokasi-lokasi yang tertentu.

Selain itu, Plus turut meletakkan papan tanda pemberitahuan dan peringatan Smart Lane di lokasi-lokasi Smart Lane yang terlibat. Ia boleh digunakan oleh kenderaan ringan, persendirian atau penumpang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI