MEKAH – Lebih 1.83 juta jemaah haji bermalam di Muzdalifah selepas selesai menunaikan ibadah wukuf di Arafah, lapor akhbar Saudi Gazette.
Selepas matahari terbenam semalam, jemaah haji mula menuju ke Muzdalifah dengan penuh tertib dan tenang.
Pergerakan mereka dilengkapi oleh perkhidmatan bersepadu yang disediakan oleh kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan jemaah haji menunaikan ibadah dengan mudah dan selesa.
Sejurus tiba di Muzdalifah, jemaah menunaikan solat maghrib dan isyak sebelum bermalam di situ.
Selepas itu, mereka akan menuju ke Mina selepas menunaikan solat subuh hari ini, yang merupakan hari pertama Aidiladha di Arab Saudi.
Di Mina, jemaah akan melontar di Jamarat Al-Aqabah dan melakukan ibadah korban, mencukur kepala dan bergerak ke Mekah untuk melakukan tawaf dan saie. – AGENSI