MEKAH – Enam jemaah meninggal dunia akibat mengalami strok haba semasa menunaikan ibadah haji di Mekah, lapor stesen penyiaran CNN.
Kesemua enam jemaah tersebut merupakan warganegara Jordan, demikian menurut Kementerian Luar negara itu semalam.
Kementerian berkenaan dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang menguruskan proses pengebumian dan kemungkinan penghantaran pulang keenam-enam jenazah mangsa ke Jordan dengan bantuan pihak berkuasa Arab Saudi di Jeddah.
Berita tersebut muncul ketika jemaah haji berkumpul di Arafah semalam untuk berwukuf, yang merupakan salah satu rukun terpenting dalam ibadat haji.
Menurut statistik Pihak Berkuasa Am Arab Saudi, terdapat lebih 1.8 juta orang dari seluruh dunia menunaikan ibadat haji pada tahun ini.
Dalam pada itu, Arab Saudi dijangka mengalami suhu panas melampau sepanjang ibadah haji dengan suhu semasa mencecah 48 darjah Celsius di Mekah. – AGENSI