DORTMUND – Itali terpaksa bangkit daripada ketinggalan sebelum mencatat kemenangan 2-1 ke atas Albania pada aksi sulung Kumpulan B Euro 2024 yang berlangsung di Signal Iduna Park sebentar tadi.
Turun dengan status juara bertahan, skuad Azzurri itu tersentak apabila ketinggalan 0-1 seawal minit pertama selepas Nedim Bajrami memanfaatkan sepenuhnya kesilapan yang dilakukan Federico Dimarco.
Albania yang mendapat tonik hasil daripada gol tersebut kemudiannya menguasai 10 minit pertama perlawanan menerusi gerakan-gerakan yang mampu memberi ancaman kepada pintu gol itali.
Bagaimanapun, serangan demi serangan dilakukan Itali akhirnya membuahkan hasil apabila mereka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-11 hasil tandukan pemain pertahanan, Alessandro Bastoni yang menerima hantaran Lorenzo Pellegrini.
Lima minit berselang, pintu gol Albania bocor lagi, kali ini menerusi percubaan luar kotak penalti yang dilakukan tonggak tengah, Nicolo Barella bagi meletakkan Itali berada 2-1 di depan.
Kemudian, Itali terus melancarkan serangan bertali arus dalam usaha mereka untuk mendapatkan jaringan lebih besar, namun kedudukan 2-1 kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Itali masih belum mengendurkan asakan apabila melakukan serangan demi serangan untuk memburu gol ketiga bagi meletakkan kedudukan mereka dalam keadaan lebih selesa.
Meskipun Itali lebih banyak menguasai permainan, namun Albania juga dilihat sesekali melancarkan serangan ke arah pintu gol Azzurri dan berjaya menguji penjaga gol, Gianluigi Donnarumma.
Walaupun Albania berhempas-pulas memburu gol penyamaan untuk sekurang-kurangnya berkongsi satu mata, namun kedudukan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan. – KOSMO! ONLINE