fbpx

Pegawai khas Abang Zam diumum jadi calon PN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abidin (empat dari kiri) dipilih sebagai calon PN pada PRK DUN Sungai Bakap.

SEBERANG PERAI – Bekas pegawai khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff dipilih sebagai calon yang akan mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, 6 Julai ini.

Anak jati Sungai Bakap, Abidin Ismail, 56, diumumkan sebagai calon oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Simpang Ampat, malam ini.

Hadir sama, Naib Presiden Pas Pusat, Datuk Idris Ahmad, Naib Presiden Bersatu Pusat, Datuk Dr. Radzi Jidin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Abidin yang juga anak jati Sungai Bakap dilahirkan di Sungai Duri dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Duri dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Sheh Barakbah dan bekerja sebagai eksekutif logistik.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian Nor Zamri atau lebih dikenali sebagai YB Abang Zam pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.

Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lepas menentang calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. Beliau mendapat 15,433 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI