PETALING JAYA – Skuad Sabah FC mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk membelasah kelab Liga A1 Semi-pro, Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) dengan keputusan 7-0 pada aksi pusingan pertama Piala FA sebentar tadi.
Pada perlawanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu itu, skuad The Rhinos berjaya meraih gol menerusi sepakan percuma pemain import sensasi Indonesia, Saddil Ramdani seawal minit ke-14.
Jaringan tersebut menaikkan semangat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu untuk mengasak kubu pelawat dan berjaya meraih gol kedua hasil jaringan Ramon Machado selepas menerima hantaran Jafri Chew pada minit ke-27.
Machado memastikan Sabah FC selesa sebelum wisel penamat babak pertama ditiupkan dengan menjaringkan gol kedua peribadi hasil tandukan pada minit ke-42.
Bersambung pada separuh masa kedua, Sabah FC tidak menunjukkan tanda untuk mengendurkan serangan apabila mendahului 4-0 dengan kini giliran Park Tae-su mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-51.
Hatrik yang dicari Machado akhirnya tiba apabila memastikan Sabah FC semakin gembira dengan meledak gol kelima perlawanan berselang lapan minit kemudian.
Jafri turut tidak melepaskan peluang untuk menjaringkan gol pada minit ke-71 sebelum jaringan sendiri pemain lawan, Raffi Nagoorgani pada masa kecederaan melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah.
Kemenangan tersebut menyaksikan Sabah FC bakal bertemu Terengganu FC pada aksi suku akhir Piala FA pada penghujung bulan ini. – KOSMO! ONLINE