LIPIS – Kemeriahan Hari Raya Aidiladha kali ini menjadi lebih istimewa buat golongan asnaf dan penduduk kurang bernasib baik di Kampung Kechau Tui, Padang Tengku, dekat sini apabila sebuah syarikat yang sedang menjalankan projek pembangunan di kawasan berkenaan memilih lembu hibrid atau lembu sado untuk dikorbankan.
Wakil Syarikat Trika Agam Sdn. Bhd., Mohd. Firdaus Othman, 37, berkata, pihak syarikat telah membeli seekor lembu sado baka charolais dari seorang penternak lembu di Merapoh, dekat sini yang berharga RM11,500.
“Kita merancang untuk mengorbankan lembu sado itu pada hari raya ketiga. Pihak syarikat sedang melaksanakan projek pembinaan di kilang peluru yang terletak di Kampung Kechau Tui.
“Jadi kami berhasrat untuk mengorbankan lembu sado untuk diagihkan kepada golongan asnaf dan penduduk kurang bernasib baik di kawasan ini.
“Sebelum ini, pihak syarikat memilih lembu dari baka kampung atau Kedah-Kelantan (KK) untuk dikorbankan, namun berbeza pada tahun ini apabila pihak syarikat berbelanja lebih bagi membeli lembu sado seberat kira-kira 500 kilogram,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini kelmarin.
Mohd Firdaus yang bertugas sebagai penyelia berkata, syarikatnya yang beroperasi di Terengganu telah membeli lima ekor lembu sado berharga antara RM11,500 hingga RM20,000 untuk dikorbankan.
“Tiga ekor lembu sado akan dikorbankan di ibu pejabat yang terletak di Kuala Terengganu dan masing-masing seekor di Kemaman dan Lipis (Kampung Kechau Tui).
“Program korban ini antara mekanisme syarikat korporat mendekatkan diri serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim dengan penduduk setempat sempena Hari Raya Aidiladha,” katanya. -KOSMO! ONLINE