fbpx

‎74 jemaah haji ‘sakit’ laksana Safari Wukuf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Nai'm ketika mengadakan lawatan di setiap khemah yang menempatkan para jemaah haji.

MINA – Seramai 74 jemaah haji yang sedang dirawat di Pusat Rawatan Tabung Haji berjaya melengkapkan ibadat wukuf di Padang Arafah menerusi program Safari Wukuf.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar berkata, pesakit yang berada dalam keadaan sedar itu akan dibawa menggunakan bas khas dan masuk ke Padang Arafah untuk seketika bagi melengkapkan rukun haji kedua itu.

Katanya, ini sekali gus bermakna semua jemaah bagi musim 1445 H/2024M yang sedang dirawat di Pusat Rawatan Tabung Haji berjaya melaksanakan ibadat tersebut

“Alhamdulilah pagi semalam program safari wukuf berjaya dilaksanakan. Ia satu program yang dilaksanakan dengan menggunakan tujuh buah bas siap diubah suai kedudukan kerusinya untuk membawa pesakit kritikal.

“Mereka kemudian akan dibawa sebentar untuk wukuf dan tiba di sini (Padang Arafah) untuk jangka masa pendek. Semua jemaah yang sedang dirawat ini kemudian akan pulang dalam masa segera,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Terdahulu, Mohd. Naim yang turut diiringi Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) Tan Sri Abdul Rashdi Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Syed Hamadah Syed Othman dan Ketua Rombongan Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dibawa melawat ke kawasan perkhemahan yang menempatkan jemaah haji Malaysia.

Sementara itu, tambah Mohd. Naim, tiada jemaah haji yang dirawat di pusat rawatan berkenaan tidak melaksanakan ibadat wukuf.

“Saya ingin menzahirkan penghargaan kepada semua petugas yang terlibat dalam segala urusan haji bagi musim 1445H/2024M ini terutama kakitangan kesihatan.

“Mereka telah cuba sehabis baik untuk memastikan jemaah haji yang dirawat melaksanakan ibadat wukuf ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Naim berkata, sebanyak 50 jemaah haji yang uzur ditemani petugas menerusi inisiatif peneman.

“Seramai 50 jemaah haji yang uzur yang disebabkan umur, kesihatan dan emosi telah dipilih satu jawatan kuasa kaunseling dan setiap daripada mereka mempunyai peneman.

“Ia berkonsepkan individu iaitu semua jemaah mempunyai peneman atau lebih dikenali one to one. Ini secara tidak langsung membolehkan peneman memberi tumpuan kepada perkara berkaitan kebajikan keselamatan dan kesihatan jemaah, sekaligus membolehkan mereka demi menumpukan ibadat nanti,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI