PETALING JAYA – Tandas kabin khusus untuk pengguna wanita ditambah di beberapa lokasi tumpuan pengguna di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan pada musim Hari Raya Aidiladha ini.
Inisiatif tersebut merupakan kerjasama antara Lembaga Lebuh Raya (LLM) dan Plus Malaysia Berhad (Plus) bagi menampung permintaan pengguna menjelang waktu puncak.
Selain itu, tandas mudah alih (portable type) yang diguna pakai setiap kali musim perayaan juga ditempatkan di lokasi-lokasi tertentu dalam usaha untuk menambah baik fasiliti dan kemudahan di sepanjang lebuh raya berkenaan.
“Kebersihan tandas sementara ini juga sentiasa dipantau untuk memastikan keselesaan pengguna.
“Pengguna akan merasa lebih selesa dan tidak ragu-ragu untuk menggunakan kemudahan tandas kabin.
“Antara lokasi yang disediakan tandas kabin adalah di Hentian Sebelah (HS) Gua Tempurung (arah Selatan), HS Behrang (arah Utara dan Selatan) dan HS Senawang (arah Selatan),” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Tambah LLM, tandas kabin juga boleh digunakan di HS Pedas Linggi (arah Utara dan Selatan), HS Kampung Bemban (arah Selatan dan HS Tangkak (arah Utara).
“Kita harap kemudahan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh semua pengguna lebuh raya yang ke utara dan selatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE