SERDANG- Seorang lelaki warga Bangladesh maut akibat dirempuh tren Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL) ketika melintas landasan KLIA Express di kilometer 12.45, berhampiran Taman SP5, Taman Serdang Perdana, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, kejadian pada pukul 6.30 petang itu berlaku ketika mangsa berusia 42 tahun melintas landasan berkenaan dipercayai untuk ke rumah kawannya.
Katanya, laporan insiden itu diterima pada pukul 8.45 malam daripada penyelia pasukan pengawal keselamatan KLIA Express.
“Hasil siasatan awal didapati mangsa menceroboh kawasan berpagar dan
masuk ke landasan keretapi KLIA Express untuk melintas ke Jalan Serdang Perdana 5, Seri Kembangan.
“Semasa mangsa melintas landasan berkenaan mangsa dilanggar oleh tren ERL dan disahkan meninggal dunia dalam kejadian itu,”katanya dalam kenyataan semalam.
Kat Anbalagan, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) jelas kelihatan mangsa cuba melintas landasan itu sebelum dilanggar.
Anbalagan berkata, mayat mangsa ditemui di dalam longkang kedalaman lima meter yang berada berhampiran lokasi kejadian.
Katanya, semakan mendapati mangsa bekerja sebagai kontraktor di Johor dan masuk ke Malaysia sekitar tahun 2020.
“Tujuan sebenar mangsa melintas di landasan berkenaan masih dalam siasatan namun dipercayai untuk melawat kawanya berdasarkan rakaman percakapan beberapa rakannya.
“Setakat ini, tiada unsur jenayah ditemui dalam kejadian ini dan mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk tujuan bedah siasat,”katanya. -KOSMO! ONLINE.