MELAKA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mencemar duli berangkat menghadiri majlis jamuan teh bersama rakyat di Dataran Pengkalan Rama di sini, petang tadi dengan dihadiri kira-kira 1,200 rakyat jelata termasuk 500 asnaf.
Sultan Ibrahim yang diiringi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh tiba di majlis itu disambut Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam pada pukul 5.30 petang.
Sejurus tiba, baginda menerima cendera kenangan daripada kerajaan negeri berupa sebuah potret.
Majlis itu diadakan sempena kunjungan rasmi baginda selama tiga hari ke Melaka.
Esok, Sultan Ibrahim dijadualkan berangkat merasmikan Pameran Hang Tuah, Pameran Automotif Klasik Keluarga Diraja Johor dan Malaysia Bike Week Melaka 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh. -KOSMO! ONLINE.