PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju untuk menghentikan pertikaian peribadi mereka di mahkamah.
Anwar dan Muhyiddin dalam satu kenyataan bersama berkata, keputusan itu diambil setelah mempertimbangkan kesan saman fitnah kepada umum serta mengambil kira saranan Hakim Mahkamah Tinggi.
Menurut kedua-dua mereka, keputusan berkenaan turut dibuat berdasarkan keadaan semasa negara yang perlu diutamakan terutama soal kelangsungan kehidupan rakyat.
“(YAB) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan (YB) Tan Sri Mahiaddin Mohd Yassin (Muhyiddin) bersetuju dan mengambil keputusan untuk memberhentikan pertikaian peribadi mereka dan prosiding Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Guaman No. WA-23CY-58-12/2022 serta Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Guaman No. WA-23CY-18-07/2023.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Mahiaddin Mohd Yassin merakamkan penghargaan kepada Hakim Mahkamah Tinggi dan pegawai-pegawai mahkamah yang terlibat,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan bersama tersebut, Anwar dan Muhyiddin juga berharap keputusan itu dapat diterima dan dihormati oleh semua pihak.
Tambah kenyataan itu, kedua-dua mereka turut bersetuju untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan susulan terkait perkara tersebut.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Mahiaddin Mohd Yassin berharap agar perkara ini tidak dijadikan bahan yang boleh menggangu-gugat kesejahteraan dan kestabilan awam serta keyakinan rakyat kepada Institusi Kehakiman Negara,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE.