JAKARTA – Tindakan seorang penjual mainan berusia 65 tahun di Indonesia menolak wang berlebihan yang diberikan oleh seorang individu mengundang perhatian netizen, lapor akhbar Tribunnews semalam.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @seruni140_, warga emas itu dilihat menangis dan enggan menerima wang yang diberikan oleh seorang wanita bernama Seruni.
Biarpun harga untuk dua permainan dibeli oleh Seruni berjumlah 10 ribu rupiah (RM2.88), namun dia memberi jumlah yang jauh lebih besar.
Sikap dermawan pembeli itu membuatkan warga emas itu tidak dapat menahan air matanya.
Warga emas itu berkata, mainan tersebut dihasilkannya sendiri menggunakan kertas warna-warni dan dijual pada harga antara 3 ribu rupiah (RM0.86) hingga 5 ribu (RM1.44).
“Setiap hari saya berniaga, cuma waktunya lain-lain. Kalau hari Sabtu, saya berniaga pada waktu siang. Pendapatan saya juga tidak menentu,” katanya.
Meskipun ditolak beberapa kali, Seruni tidak berputus asa untuk memberikan wang itu.
Rakaman itu menjadi tular di media sosial dan meraih sebanyak 21.4 juta tontonan. – AGENSI