BERLIN – Ketua Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic mengakui terdesak untuk memulakan kempen Euro 2024 dengan langkah kanan apabila dijadual bertemu juara tiga kali, Sepanyol pada aksi pertama Kumpulan B di Stadium Olimpik tengah malam ini.
Kata Dalic, beberapa rekod pertemuan dengan Sepanyol sebelum ini tidak begitu baik dan sudah tentu berharap untuk meraih keputusan yang lebih positif pada kempen Euro kali ini.
“Saya rasa kami telah diundi dalam kumpulan maut pada edisi kali ini kerana ada juara bertahan, Itali dan juara Liga Negara-Negara Eropah (NL), Sepanyol.
“Jika kita lihat rekod-rekod lepas, Sepanyol berjaya menewaskan kami menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi final NL selain melakar kemenangan pada aksi epik Euro 2020 yang berkesudahan 5-3.
“Justeru, saya harap keputusan kali ini berbeza dan dapat memihak kepada kami. Saya percaya dengan kualiti yang ada kepada pasukan sekali gus memulakan aksi dengan langkah kanan,” katanya.
Sementara itu, pemain pertahanan Croatia, Josko Gvardiol mengakui falsafah bola sepak Sepanyol agak berbeza dan mampu menjerat pasukan meskipun tidak kenal ketua jurulatih La Roja, Luis de la Fuente secara peribadi.
“Saya memang tidak kenal De La Fuente kerana sebelum ini kami sering ditanya mengenai pemain. Namun, berdasarkan aspek taktikal saya percaya kekuatan lawan adalah di posisi tengah dan cuba untuk mengasak jentera pasukan kami,” katanya. – AGENSI